Sorting by

×

TMM2024 lonjak nama Melaka di mata dunia

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 31 Disember – Kemeriahan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bakal melonjakkan lagi nama Melaka sebagai destinasi pelancongan utama dunia.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing berkata, dengan penganjuran sebanyak 70 acara pelancongan utama, selain pelbagai pengisian sepanjang 365 hari, ia secara tidak langsung meningkatkan populariti negeri bersejarah ini.

Bukan itu sahaja, beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama strategik bersama Kerajaan Negeri Melaka juga bakal menganjurkan acara mega bertaraf antarabangsa, iaitu World Tourism Day (WTD) dan World Tourism Conference (WTC) 2025 yang dijadualkan pada 27 hingga 29 September 2025.

Menurut beliau, ia selepas Malaysia terpilih sebagai negara hos bagi penganjuran program tersebut yang bertemakan ‘Tourism and Sustainable Transformation’.

“Kedua-dua program tersebut bakal menjana keuntungan besar kepada negara dan memperkenalkan Melaka sebagai destinasi pelancongan terkenal di persada dunia.

“Pihak MOTAC akan terus berusaha dan bekerjasam dengan kerajaan negeri untuk menerajui pembangunan sektor pelancongan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) & Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama di sini, malam ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4887
Kongsi :
Previous post 40,000 pengunjung banjiri TMM2024, ambang tahun baharu
Next post Tahun Melawat Malaysia 2026 sasar 35.6 juta pelancong asing
Ubah saiz-+=