KTMB kerjasama dengan pihak swasta tampung penambahan aset

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 29 Disember – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan bekerjasama dengan pihak swasta bagi menyediakan lokomotif bagi menampung kekurangan pengangkutan kargo di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin berkata, pihaknya berdepan kekurangan pengangkutan keretapi seperti kargo, wagon dan lokomotif di seluruh negara.

Katanya, pihaknya akan membuat permohonan kepada Kementerian Pengangkutan untuk mendapatkan aset kereta api atau ‘car set’ baharu untuk menambah kemampuan pengendali perkhidmatan pengangkutan itu.

“Apa yang kita lakukan adalah melakukan kerjasama dengan pihak swasta untuk menyediakan lokomotif dan wagon.

“Rolling stock adalah aset dipunyai oleh kerajaan di bawah Perbadanan Aset Keretapi (RAC), jadi Kerajaan akan membantu kita untuk menambah lokomotif di samping itu kita juga berusaha secara sendirian dengan pihak ketiga untuk bekerjasama supaya kita senaraikan atau menyewa mana-mana lokomotif yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lokomotif Kelas 21 (21111) oleh KTMB kepada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Zaidi Attan; Timbalan Pengerusi, Lembaga Pengarah Perzim, Datuk Akramuddin Ab Aziz dan Pengurus Besar Perzim, Drs Moh Nazruddin Rahman.

Dalam pada itu, Mohd Rani berkata KTMB mempunyai beberapa lokomatif lama yang tidak boleh digunakan bagi perkhidmatan kargo dan pihaknya akan menyumbang kepada mana-mana pihak untuk tujuan pameran.

“Lokomotif jentera diesel kebanyakannya digunakan untuk pengangkutan kargo dan perjalanan di Pantai Timur iaitu dari Gemas (Negeri Sembilan) ke Tumpat (Kelantan) atau Johor Bahru ke Tumpat, jadi lokomotif lama yang tidak boleh digunakan kita akan sumbangkan kepada mereka yang berminat untuk mengendalikannya sebagai bahan sejarah.

“Setakat ini pelbagai pihak menunjukkan minat namun kami terpaksa mempertimbangkan kerana tidak semua kita akan beri, ada yang perlu disimpan untuk KTMB sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post Lokomotif Kelas 21 bakal dilengkapi simulator, galeri sejarah
Next post Tenang selepas lafaz syahadah di pagi Jumaat
Ubah saiz-+=