COVID-19: Maybank Alor Gajah ditutup
REMBIA 11 Nov. – Maybank Cawangan Alor Gajah di sini ditutup mulai semalam berikutan seorang kakitangannya dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan seorang pesakit dalam siasatan (PUI) COVID-19.
Bagaimanapun, dalam kenyataannya bank itu berkata, kontak rapat berkenaan berlaku di luar bank.
“Selepas menerima maklumat, kami terus menutup cawangan ini untuk menjalankan proses pembersihan rapi dan sanitasi,” katanya.
Bagaimanapun ia tidak menyatakan bila bank berkenaan akan kembali beroperasi.
Sehubungan itu, ia meminta pelanggan bank supaya berurusan di Maybank Cawangan Pulau Sebang dan Cawangan Masjid Tanah, dekat sini.
Tinjauan di bank itu hari ini mendapati masih ada beberapa pelanggan bank mengunjungi bank berkenaan tetapi segera beredar selepas membaca kenyataan yang dilekatkan pada pintu bank.
Pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai Lim dan berusia dalam lingkungan 50-an berkata, beliau tidak tahu bank berkenaan sudah ditutup sejak semalam dan terpaksa ke Maybank Cawangan Masjid Tanah.
Sementara itu Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) dalam kenyatannya berkata, tiada pesakit baharu COVID-19 semalam dan jumlah pesakit positif yang masih dirawat di Hospital Melaka ialah 20.
Selain itu, tiada pesakit sembuh setakat semalam dan tujuh zon kuning di negeri ini ialah Ayer Molek, Cheng, Tanjung Minyak, Batu Berendam, Durian Tunggal, Kelemak dan Chohong.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Anti Dadah negeri Datuk Rahmad Mariman dilaporkan berkata, seramai 1,800 individu yang mempunyai kontak rapat dengan Kluster Berendam sudah disaring setakat kelmarin.
Kluster berkenaan direkodkan di mukim Ayer Molek, Cheng dan Durian Tunggal, membabitkan kes saringan kontak rapat daripada kes tempatan.