Sorting by

×

Kapal dari Cameroon ditahan di perairan Kuala Linggi

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

KUALA LINGGI 26 Disember – Sebuah kapal ‘tanker’ yang berdaftar di Limbe, Cameroon ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan kerana didapati bersauh tanpa kebenaran pagi semalam.

Kesalahan itu dikesan di kedudukan 7.5 batu nautika barat daya Tanjung Dahan hasil pengesanan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA).

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, sejurus dikesan, sepasukan anggota Bot Ronda Maritim Malaysia yang sedang membuat rondaan Op Murni / Op Tiris Fasa 2.0 telah diatur gerak ke lokasi.

“Pemeriksaan ke atas kapal yang berdaftar di Limbe, Cameroon itu mendapati ia dikendalikan oleh enam kru termasuk kepten kapal yang kesemuanya warga Iran berumur dalam lingkungan 37 hingga 70 tahun.

“Pemeriksaan lanjut keatas kapal yang dalam pelayaran dari Jepun ke Dubai itu turut didapati melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan tidak mempunyai dokumen insuran kapal,” katanya.

Menurut beliau, nakhoda kapal kemudiannya dibawa ke pejabat Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu berlabuh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan tidak mempunyai dokumen insuran kapal.

“Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan undang-undang agar perairan negara selamat daripada sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan negara.

“Bagi membanteras kegiatan seperti itu, orang ramai diminta untuk membantu pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat salah laku di laut ke Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2780
Kongsi :
Previous post Pelancongan perkasa ekonomi orang kampung
Next post Pancing ikan pari, pesara tentera bawa pulang RM25,000
Ubah saiz-+=