TMM2024: ‘Berendam’ dalam Sungai Melaka siapkan pentas terapung
KOTA LAKSAMANA 26 Disember – Berendam selama beberapa jam dalam Sungai Melaka antara cabaran kru diberi tanggungjawab menyiapkan pentas terapung sempena pelancaran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Namun demi tugas dan memastikan pelancaran TMM2024 pada malam 31 Disember ini berjalan lancar dan meriah seperti diatur cabaran itu digalas dengan penuh rasa tanggungjawab oleh kru terbabit.
Seorang kru pentas, Mohd Radzi Manan,39, berkata, dia bersama beberapa rakan lain terpaksa berendam dalam sungai untuk memasang kira-kira 600 ponton atau pelampung.
Jelasnya, pemasangan itu antara komponen penting untuk menyiapkan pentas utama sambutan dan mengambil masa lebih kurang empat hari untuk disiapkan.
Dia yang berkampung di Melaka sejak seminggu lalu berkata, setakat ini persiapan lokasi penganjuran di jeti Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) sudah mencapai 95 peratus.
Mohd Radzi berkata, persiapan itu membabitkan pelbagai aspek seperti teknikal, sistem bunyi, pencahayaan dan pentas.
“Kami perlu memastikan pentas yang dibina ini selamat digunakan pada hari pelancaran nanti. Selepas pemasangan ponton, platform pentas perlu diletakkan di atasnya, cabaran membuat persiapan di sini agak boleh tahan sebab kita perlu berdepan dengan pasang surut air.
“Arus menyebabkan pentas bergerak, jadi kena arif untuk mencongak kedudukan paras air, kita kena ‘counter weight’ keadaan dia macam mana dan kuncikan supaya tidak bergerak,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Terdahulu dalam tinjauan MHI mendapati kerja-kerja persiapan giat dilaksanakan membabitkan lebih 30 kru disebalik tabir di dua lokasi berbeza.
Mengikut perancangan pentas utama terletak di jeti Pejabat PPSPM, manakala pentas jemputan VIP dan orang ramai pula diseberang.
Terdapat 10 paparan skrin telah dipasang di 10 lokasi berbeza sepanjang sungai terbabit dilengkapi pembesar suara dan pencahayaan khas.
Sementara itu, seorang kru teknikal, Saiful Akbar Mohd Noor, 32, berkata, perubahan cuaca merupakan antara cabaran utama sepanjang menjalankan persiapan itu sejak seminggu lalu.
Bagaimanapun katanya, persediaan berdepan cuaca hujan telah dilaksanakan pihaknya bagi memastikan sambutan itu berjalan lancar.
“Sistem pencahayaan yang dipasang dilengkapi dengan payung pelindungan hujan, jadi tidak timbul masalah jika berlaku hujan.
“Malah skrin yang terletak di pentas utama adalah kalis air, pemasangan ini telah siap dan difahamkan akan diserahkan untuk latihan uji suara mulai esok,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.