Bot percuma: Ratusan pelancong serbu Pusat Ekopelancongan Paya Lebar
AYER LIMAU 25 Disember – Kira-kira 300 pelancong menyerbu Jeti Pusat Ekopelancongan Paya Lebar bagi mengambil peluang menikmati pelayaran percuma perhidmatan bot pelancong Eco-Cruise Sungai Linggi.
Tinjauan mendapati, orang ramai mula menunggu di perkarangan jeti terbabit sejak jam 7.30 pagi meskipun kaunter tiket dibuka pada jam 9.00 pagi.
Suasana sekitar jeti berkenaan amat meriah biarpun hanya 40 individu terawal sahaja yang berpeluang untuk menikmati peluang terbabit.
Pelancong dari Kluang, Johor, Mohd Shahrel Jaafar, 42, berkata dia dan keluarga sanggup datang seawal 7 pagi untuk merasai pelaung pertama kali menikmati produk ekopelancongan baharu itu.
Katanya, meskipun sesi pertama telah penuh dia sanggup memunggu pada sebelah petang demi merealisasikan hasrat anak-anak dan keluarganya.
“Ini kali pertama saya datang ke Paya Lebar dan melihat kawasan ini berpotensi besar untuk dijadikan sebagai pusat tarikan ekopelancongan di Melaka.
“Saya teruja apabila dimaklumkan ada perkhidmatan percuma ditawarkan sepanjang Disember dan ini merupakan langkah terbaik Kerajaan Negeri untuk mempromosikan destinasi ekopelancongan baharu,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Hafizah Yaakob, 34, berkata dia sekeluarga sanggup datang awal dari Bukit Rambai sejak semata-mata untuk mengambil peluang tersebut.
Hafizah berkata, pengalaman pertama kali menjejakkan kaki ke kawasan itu, dia menyifatkan suasana di Paya Lebar sebagai luar biasa.
“Dibandingkan dengan Melaka River Cruise, di sini lebih menarik kerana ada tarikan alam semula jadi.
“Selepas ia ditularkan saya terus rancang bersama keluarga untuk datang, kerana mahu melihat habitat buaya dan ular seperti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.