Sorting by

×

Eco-Cruise Sungai Linggi bantu orang kampung berniaga

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER LIMAU 25 Disember  – Usaha Kerajaan Negeri memperkasa ekonomi penduduk luar bandar dengan mewujudkan produk pelancongan baharu mula menampakkan hasil.

Baru sahaja dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pada Khamis, penduduk sekitar mula memanfaatkan kewujudan Eco-Cruise Sungai Linggi dengan menggunakan peluang yang terbuka untuk berniaga.

Penduduk, Abdul Razak Jantan, 67, berkata, Eco-Cruise Sungai Linggi sememanggnya membantu meningkatkan pendapatan penduduk sekitar dan nelayan sungai.

“Bagi nelayan, mereka juga berpeluang menawarkan perkhidmatan menyewa bot untuk bawa pelancong menelusuri sepanjang Sungai Linggi yang kaya dengan flora dan fauna.

“Apabila kuota bot dikendalikan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM) penuh ia membuka peluang nelayan untuk bersama-sama menjana pendapatan dengan menawarkan perkhidmatan sama kepada pelancong,” katanya ketika ditemui di Jeti Ekopelancongan Paya Lebar, di sini, semalam.

Abdul Razak berharap, kerajaan menaik taraf nelayan di kawasan itu dengan mempelawa mereka untuk mendapatkan lesen bot pelancong agar dapat menawarkan perkhidmatan mengikut piawiain ditetapkan, sekali gus menjamin keselamatan penumpang.

Sementara itu, peniaga kecil, Saadiah Hashim, 58, tidak menyangka selepas pelancaran perkhidmatan Eco-Cruise Sungai Linggi oleh Ketua Menteri, kawasan terbabit mula dibanjiri pelancong sejak Jumaat.

Katanya langkah menawarkan pelayaran menelusuri Sungai Linggi untuk tempoh waktu tertentu itu amat bagus dalam mempromosikan pelbagai produk ekopelancongan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, sebelum Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) bermula.

“Tidak sangka ramai pelancong yang datang macam rezeki terpijak buat kami sekeluarga, memang kami tidak sangka pelancong mula membanjiri kawasan ini sejak awal pagi.

“Jadi kami ambil peluang ini untuk jual air mineral sahaja dan laris hampir empat kotak. Selepas ini kami merancang untuk menjual pelbagai lagi barangan terutama produk menggunakan hasil tangkapan nelayan sungai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2680
Kongsi :
Previous post Bot percuma: Ratusan pelancong serbu Pusat Ekopelancongan Paya Lebar
Next post Lelaki maut disengat tebuan tanah
Ubah saiz-+=