Sorting by

×

‘Saya tak mampu bertugas seperti mereka’

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

TABOH NANING 11 Nov. – “Mereka begitu bersusah payah berpanas di bawah mentari, berbasah kuyup dihujani air demi menyelamatkan negara, saya tak mampu buat seperti mereka”, kata Rosman Mohd Zin, 59.

Rosman merupakan antara ahli perniagaan yang didapati menyampaikan bantuan kepada petugas barisan hadapan di lokasi sekatan jalan raya (SJR) Ayer Keroh susulan Perintah Kawalan Keselamatan Bersyarat (PKPB) di negeri ini.

Jelas Rosman, situasi ‘frontliners’ yang sanggup berkhidmat dibawah cuaca ekstrem, mendorong dia melakukan usaha murni itu yang diilhamkan isterinya.

“Saya pernah melihat pihak polis dan askar yang ditugaskan menjaga SJR berbasah kuyup di dalam hujan dan rasa simpati itu sendiri muncul dengan situasi itu.

“Mereka bersusah payah demi kita, malah sanggup menghadapi liku-liku bahaya yang tidak diduga sepanjang berkhidmat di lokasi SJR.

“Saya dan isteri cuba membantu sedaya yang mungkin, kalau nak ditugaskan seperti mereka saya memang tak mampu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Plaza Tol Simpang Ampat, di sini petang semalam.

Rosman menetap di Ampang, Kuala Lumpur akan berulang ke Melaka setiap hari ditemani isteri bagi urusan perniagaan yang perlu dilaksanakannya.

Katanya, dan setiap kali menempuh perjalanan ke lokasi, dia dan isteri akan cuba membantu sebaik yang mungkin, jika melalui mana-mana SJR.

Jelasnya, antara ‘frontliners’ yang pernah dibantu termasuk di Seremban, Negeri Sembilan, Kedah dan Kuantan, Pahang.

“Mana-mana pihak yang bersimpati kepada perkara ini marilah sama-sama kita membantu mereka kerana perkara ini kita perlu bersama bagi membendung penularan wabak ini.

“Terima kasih kepada pejuang-pejuang barisan hadapan dalam membendung penularan ini dan semoga terus berkhidmat dengan penuh komited dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memerangi penyakit ini,”katanya.

Views:

328
Kongsi :
Previous post Polis Melaka terima 4,073 permohonan rentas negeri
Next post Zoo Melaka ‘sepi’
Ubah saiz-+=