DUN Asahan sahut cadangan Kerajaan Negeri pasang papan tanda zikir
ASAHAN 21 Disember – Laluan utama di sembilan buah masjid dan pintu masuk ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan bakal berwajah baharu dengan pemasangan papan tanda kalimah zikir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, pemasangan papan tanda itu adalah inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menggalakkan semua masjid memasangnya bukan sahaja untuk pengindahan kawasan sekitar malah tanda mengingati Allah S.W.T.
“Menyambut baik cadangan yang disuarakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu, kami dipihak JAPERUN mengambil tindakan segera dengan menanggung kos pemasangan semua papan tanda zikir itu.
“Pemasangan papan tanda ini sedang berjalan dan dijangka akan selesai pada hujung bulan ini yang membabitkan kawasan laluan kiri dan kanan sembilan masjid serta pintu masuk ke DUN Asahan,” katanya.
Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, berkata, pemasangan papan tanda kalimah zikir disepanjang laluan masjid itu adalah bagi memudahkan masyarakat mengenal pasti kedudukan masjid serta sebagai langkah menarik lebih ramai jemaah ke masjid.
“Pemasangan ini juga turut membabitkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) ini bagi memastikan pemasangan dibuat mengikut ketetapan yang betul selain kawasan yang ada terbabit dengan rezab jalan.
“Dengan pemasangan papan tanda ini juga ia bukan sahaja mengindahkan lagi kawasan laluan masjid malah dapat menarik lebih ramai penduduk untuk bersama-sama menunaikan solat jemaah serta mengimarahkan masjid berdekatan,”Ā katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.