TAPS Jernih selari gagasan majukan Masjid Tanah
AYER LIMAU 21 Disember – Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih yang dibina bukan sahaja mampu mengatasi isu bekalan air malah ia seiring usaha memajukan Masjid Tanah dengan pembangunan mampan pada masa hadapan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, empangan yang dibina itu diyakini membawa limpahan manfaat dalam persediaan menghadapi pertambahan penduduk dan kawasan perindustrian baharu yang bakal dibina di utara Melaka.
Jelas Ketua Menteri, TAPS yang menelan peruntukan RM200 juta mampu membekalkan 14 juta liter air sehari kepada penduduk dan industri di sekitar.
“Saya percaya dengan teknologi empangan ini akan memberikan keyakinan kepada penduduk di Masjid Tanah dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang bahawa bekalan air akan mencukupi dan membantu membangunkan kawasan ini tidak lama lagi.
“Ini sebagai persediaan kerana kawasan Masjid Tanah akan digazetkan sebanyak 5,000 ekar sebagai kawasan perindustrian baharu dan kita harap projek ini mampu menampung perkembangan kawasan perindustrian bakal diwujudkan nanti.
“Ia juga akan memastikan bekalan air yang mencukupi buat rakyat Masjid Tanah, lebih-lebih lagi dengan peningkatan penduduk hasil daripada pembangunan pesat berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Lawatan Kerja Ke Projek Pembinaan TAPS Jernih dan Tapak Cadangan Pembinaan Loji Rawatan Air Jernih di Kampung Air Jernih, di sini, hari ini.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Air dan Pembangunan) Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam, Datuk Razali Mohamad.
Mengulas lanjut Ketua Menteri berkata, TAPS yang dicadangkan pembinaannya sejak 2004 bukan lagi projek ‘optional’ atau pilihan Kerajaan Negeri sebaliknya menjadi keperluan yang mendesak untuk dilaksanakan segera.
Menurutnya, ia berikutan jangkaan berlaku defisit sumber air untuk menyokong aktiviti pembangunan di negeri ini.
Ujarnya, Projek TAPS Jernih akan membantu menyelesaikan masalah air setempat khususnya di daerah Alor Gajah yang kini memperoleh bekalan air dari Loji Rawatan Air Gadek dengan jarak sejauh 24 kilometer (km) dan Loji Rawatan Air Bertam dengan jarak sejauh 50.3 km.
“Faktor jarak menyebabkan gangguan bekalan air dan tekanan air rendah kepada penduduk di kawasan yang terlibat.
“Projek ini giat dilaksanakan dan kita akan memastikan ia berjalan lancar dengan jangkaan siap menjelang Disember 2024.
“TAPS Jernih juga merupakan satu perkembangan teknologi terkini yang dapat membantu mengurangkan isu banjir dan ia mampu bertahan selama empat bulan sekiranya berlaku musim kemarau,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.