Sorting by

×

Eco-Cruise Sungai Linggi gamit pelancong

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat
AYER LIMAU 21 Disember – Pelancaran Eco-Cruise Sungai Linggi, bukan semata-mata bertujuan menambah produk ekopelancongan untuk menarik lebih ramai pelancong ke bahagian utara Melaka bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Sebaliknya, pada sudut pandang lebih luas ia adalah strategi serampang dua mata mampu membantu meningkatkan sumber ekonomi rakyat khusus di kawasan kampung atau pedalaman.
Mengulas lanjut perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelancaran produk ekopelancongan terbaharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau itu adalah manifestasi Kerajaan Negeri dalam memperkasakan sektor pelancongan.
Ketua Menteri berkata, Eco-Cruise Sungai Linggi bukan sahaja menjadi produk pelancongan baharu bagi Masjid Tanah, sebaliknya turut dirasai oleh orang Negeri Sembilan berikut kedua-dua negeri berkongsi sempadan sungai.
“Bagi pelancongan kawasan luar bandar banyak produk baharu boleh difikirkan dan dijadikan sumber ekonomi rakyat. Kita susun atur dan seragamkan agar rakyat dapat nikmati faedahnya.
“Pelancaran kali ini menterjemahkan hasrat Kerajaan Negeri untuk melestarikan DUN Ayer Limau sebagai kawasan tumpuan pelancongan baharu dan pada masa yang sama memberi manfaat kepada rakyat,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Eco-Cruise Sungai Linggi Dan Restoran Terapung Sungai Linggi Di Jeti Eco Tourism Paya Lebar, di Jeti Paya Lebar, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengankutan negeri.
Turut hadir barisan Exco; Timbalan Exco; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Datuk TPr. Murad Husin; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim; Ketua Polis Melaka Datuk Wira Zainol Samah serta Ketua Polis Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri akan terus menambah baik kemudahan yang ada termasuk aspek telekomunikasi dengan memastikan kawasan berkenaan menikmati jaringan 4G dan 5G.
Jelas beliau, selain pelayaran menikmati keindahan flora dan fauna, kemudahan Restoran Terapung Sungai Linggi juga bakal menggamit kehadiran lebih ramai pengunjung terutamanya kaki pancing.
“Restoran terapung ini merupakan ‘hidden gem’ atau mutiara tersembunyi bakal menawarkan pelbagai makanan menarik berasaskan kehidupan dari Sungai Linggi seperti udang galah, lokan dan ikan segar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1902
Kongsi :
Previous post Dua remaja antara tiga direman subahat kes culik kanak-kanak
Next post TAPS Jernih selari gagasan majukan Masjid Tanah
Ubah saiz-+=