Tawar kupon diskaun di 28 lokasi tarikan pelancongan
AYER KEROH 21 Disember – Pengunjung bercuti ke Melaka dipelawa untuk merebut potongan harga antara lima hingga 55 peratus membabitkan 28 lokasi menarik sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) menerusi pembelian kupon diskaun.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tawaran tawaran kupoh itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada pelawat yang memilih Negeri Melaka sebagai destinasi percutian mereka.
Jelasnya, kupon diskaun dijual pada harga RM10 itu sah bagi kegunaan dua individu untuk memasuki mana-mana lokasi tarikan sekitar Melaka.
“Kempen ini akan bermula dari 1 Januari hingga 31 Disember 2024 dan layak dinikmati oleh kesemua pelancong yang berkunjung ke Melaka.
“Nilai sebenar kupon diskaun ini adalah RM383.88 yang boleh digunakan di 28 tempat tarikan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Cabutan Bertuah dan Kupon Diskaun Sempena Tahun Melawat Melaka 2024 dan Pelancaran Pelan Induk Pelancongan Melaka 20235 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Datuk Rais Yasin serta Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.
Turut hadir Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Penangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.