Pertandingan sukan lasak, memancing penutup tirai pelancongan Pulau Besar 2023
TELOK MAS 20 Disember – Pulau Besar Multi Sports Challenge dan Pertandingan Memancing Pulau Burung menjadi aktiviti penutup tirai pelancongan kepulauan Negeri Melaka 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Pulau-Pulau Melaka (MPPM), Azhar Yaacob berkata kedua-dua pertandingan itu dianjurkan pada 16 Disember lalu.
Katanya, Pulau Besar akan terus menjadi destinasi terunggul di perairan Selat Melaka sejajar dengan pelbagai usaha mengukuhkan industri pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Pulau Besar Multi Sports Challenge menampilkan tiga disiplin iaitu larian, berenang dan berbasikal. Pertandingan ini membabitkan penyertaan 30 kumpulan dan menawarkan hadiah wang tunai RM600 bagi johan.
“Pertandingan memancing di Pulau Burung pula bertujuan untuk menarik minat kaki pancing, secara tidak langsung penganjuran aktiviti rekreasi seumpama ini mengeratkan silaturahim antara peserta serta berkongsi pengalaman dalam dunia memancing.
“Pertandingan dan program berprestij ini dijangka memberi dorongan kepada pertumbuhan ekonomi tempatan melalui sektor pelancongan dan rekreasi di Melaka.,” katanya menerusi satu kenyataan.
Azhar memaklumkan, hadiah bagi kedua-dua pertandingan itu telah disampaikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Jelasnya, Rahmad merangkap Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) turut mengadakan lawatan kerja Pulau Besar Steering Committee bersama beberapa agensi terbabit.
Turut hadir ke lawatan kerja tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim, wakil daripada lain-lain jabatan dan agensi yang terlibat.
“Pada sesi lawatan kerja itu, pihak Committee juga sempat meninjau Pusat Tahfiz yang kembali beroperasi di Pulau Besar.
“Selain itu, lawatan itu juga menyaksikan pembangunan pesat di Pulau Besar yang memberikan impak positif kepada industri pelancongan Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.