Pasar Terapung mula operasi Februari 2024

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KOTA LAKSAMANA 19 Disember – Pasar terapung atau ‘floating market’ yang menghimpunkan lebih 50 peniaga makanan dan produk tempatan di negeri ini bakal memulakan operasi pada Februari 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk TPr. Murad Husin berkata, lokasi bagi aktiviti jualan pasar terapung itu bermula di Dataran Pengkalan Rama sehingga ke Sungai Melaka Fasa 2.

Katanya, seramai 50 peniaga akan berniaga dalam bot manakala peniaga atas darat terdapat 200 kiosk yang kedua-dua kategori peniaga ini menyediakan pelbagai produk dan makanan tradisi Melaka di sepanjang Sungai Melaka.

“Pasar ini sangat menarik dan ditunggu-tunggu oleh pelancong serta rakyat Melaka, ia secara tidak langsung mengangkat lagi nama negeri ini sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai banyak produk.

“Setakat ini sudah ada pihak bekerjasama dengan kita untuk sediakan persiapan pasar terapung termasuklah bot-bot yang menempatkan peniaga nanti,” katanya kepada Melaka Hari Ini di sini, hari ini.

Photo 2023 12 19 14 37 41
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk TPr. Murad Husin. Foto: MR. AZLI

Mengulas lanjut, Murad berkata orang ramai yang berminat untuk menyertai aktiviti jualan pasar terapung itu boleh terus menghubungi urusetia PPSPM.

“Selepas ini pelancong atau rakyat Melaka tidak perlu pergi jauh untuk rasai suasana membeli makanan di atas bot kerana di sini juga mempunyai pasar terapung yang besar,” katanya.

Dalam pada itu, Murad berkata ‘Taman Mini Siguana’ juga akan memulakan operasi pada April 2024.

“Taman mini ini sebenarnya produk tambahan yang dinaik taraf, sebelum ini ia dikenali sebagai ‘Pirate Park’ tetapi selepas ada masalah teknikal dan tidak boleh beroperasi kita jenamakannya semula.

“Sekarang dalam proses pembinaan, insya-Allah ia akan siap pada April 2024 bagi fasa pertama, jadi orang ramai sudah boleh berkunjung pada tahun hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

15292
Kongsi :
Previous post Pertingkat kesedaran sivik kekalkan keindahan pantai
Next post Toh Puan Asmah rai OKU, warga emas
Ubah saiz-+=