Masjid Tanah lokasi pertama perintis Kampung Digital
KUALA LINGGI 19 Disember – Parlimen Masjid Tanah dipilih menjadi lokasi pertama dalam negara bagi menjalankan inisatif Kampung Digital.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif yang sedang dibangunkan itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam melahirkan ‘Digital Citizen’ seiring dengan peredaran zaman.
Beliau berkata, Parlimen Masjid Tanah akan menjadi perintis dalam pelaksanaan terbabit sebelum ia diperluaskan ke setiap daerah dalam Melaka.
“Inisiatif ini akan menjadikan seluruh kampung tradisi ini sebagai Kampung Digital dan Masjid Tanah merupakan Parlimen perintis bukan sahaja di Melaka bahkan seluruh Malaysia.
“Perancangan Kerajaan Negeri dalam Parlimen ini akan mendigitalkan beberapa kampung bermula dari Kampung Jeram sampailah ke sebelah Kuala Linggi ini akan dijadikan kampung perintis kepada pelaksanaan ini.
“Ia selari dengan peredaran zaman kerana seperti hari ini, ibu dan ayah di kampung mampu berhubung dengan anak-anak di Amerika Syarikat, di London tetapi apabila menyentuh soal sistem penghantaran rumah ke rumah kita masih lagi pada taraf zaman sebelum merdeka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapannya merasmikan Program Gotong Royong Madani 2023 di Kampung Pantai, Kuala Sungai Baru, di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah; Pegawai Khas Pejabat Perdana Menteri, Muhammad Fikri Abdul Aziz; Pegawai Daerah Alor Gajah, Sabrina Thalas dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Tpr. Saifuddin Abdul Karim.
Terdahulu, kira-kira 1,500 peserta terdiri daripada penduduk, pelajar dan agensi penguatkuasa hadir bersama-sama menyertai gotong royong membersihkan tiga zon pantai sejauh lebih kurang lima kilometer di kampung berkenaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, beberapa kampung lain akan menerima inisatif sama selepas Parlimen Masjid Tanah antaranya dua kampung di kawasan Merlimau dan dua lagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
Katanya, inisitaif yang diperkenalkan itu sekali gus mampu mempertingkatkan mutu kehidupan dan penyampaian mesej kerajaan kepada rakyat.
“Pelbagai lagi kaedah akan dilaksanakan dalam usaha memartabatkan masyarakat kampung supaya kedudukan mereka ini berada lebih pantas dalam kemajuannya.
“Insy-Allah, rakyat dalam Melaka ini akan mendahulu dan menerajui seluruh kampung dalam negara ini untuk menjadi ‘Digital Citizen’, orang Melaka akan menerajui kepada pendigitalan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.