Lukisan, mural ubah wajah bangunan usang di Banda Hilir – KM
BANDA HILIR 17 Disember – Tembok dan dinding bangunan usang di sekitar Banda Hilir akan dihiasi dengan mural dan lukisan yang menarik sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata lukisan dan mural akan berkonsepkan budaya dan kaum-kaum yang terdapat di Melaka.
Katanya, bangunan-bangunan usang terbabit akan di kenal pasti untuk lukisan terbabit sebelum penghujung bulan ini.
“Sebenarnya sudah lama saya merancang untuk membuat sesuatu pada bangunan-bangunan usang yang terdapat di sekitar Banda Hilir ini.
“Mural ini akan berkonsepkan budaya-budaya yang terdapat di Melaka seperti Baba Nyonya, Chetti, Portugis dan pelbagai lagi. Kita akan mngenal pasti kawasan-kawasan strategik untuk memberikan wajah baharu Melaka pada tahun hadapan.
“Untuk mural kita boleh (akan) carikan penaja untuk bangunan-bangunan usang ini diberikan nafas baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Mural Evolusi Polis Diraja Malaysia dan Lawatan Tapak Santai @ Bandar Hilir sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) di Tembok Balai Polis Melaka Tengah, Jalan Mahkamah, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.