PPSPM sasar 1 juta pengunjung sepanjang TMM2024
PENGKALAN BATU 16 Disember – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyasarkan seramai satu juta pengunjung menggunakan perkhidmatan Melaka River Cruise (MRC) sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk TPr. Murad Husin berkata, sasaran itu dijangka mampu dicapai berdasarkan kepada pelbagai pakej menarik ditawarkan bersempena TMM2024 dan jumlah pengunjung semasa tahun ini.
Jelasnya, pelbagai kemudahan dinaik taraf bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung dan pelancong yang menggunakan perkhidmatan MRC.
“Bagi 2023 kami sasarkan seramai 800,000 pengunjung menggunakan perkhidmatan MRC, namun setakat minggu pertama Disember sudah mencapai 829,000. Jadi kami yakin berdasarkan sambutan semasa dan pelbagai pakej ditawarkan nanti sasaran satu juta orang pada 2024 mampu dicapai.
“Antara pakej tambahan diperkenalkan adalah ‘pit stop’ iaitu tiket sehari yang mana pengunjung boleh menaiki MRC dari awal pagi hinggalah tamat operasi, pakej makan di Sungai Melaka dan istimewanya kami turut perkenalkan pakej ‘Everlasting Love’ untuk mereka meraikan sambutan hari istimewa. Malah pakej terbaharu yang turut dilancarakan pada tahun ini yang saya kira penting untuk sistem pengangkutan air di Melaka adalah Water Taxi (teksi air).
“Tahun hadapan juga kami ada tambahan produk baharu yang dijangka akan mendapat sambutan antaranya pembukaan Taman Tema Sigua yang dijenamakan semula selain pembukaan pasar terapung pada Februari. Kesemua produk ini akan melonjakkan lagi kedatangan pengunjung,” katanya ketika ditemui di Pejabat PPSPM, di Pengkalan Rama, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya TPr. Murad, penyusunan sejumlah 42 acara menarik oleh PPSPM sepanjang tahun hadapan juga akan menjadi penyumbang kepada kedatangan pengunjung untuk menggunakan perkhidmatan ditawarkan perbadanan itu.
“Bersempena TMM2024 juga kita merangka 42 acara termasuk beberapa acara yang besar antaranya pada 20 Februari bersempena hari Pengisytiharan Melaka, PPSPM beri peluang kepada rakyat Melaka khususnya untuk menaiki MRC secara percuma, sementara itu 25 Februari pula, berlangsung pertandingan memancing dan memasak skala yang besar.
“Kemudian diikuti dengan penganjuran Festival Sungai yang julung kali diadakan selepas COVID-19 pada 1 hingga Jun, dengan penganjuran program-program ini ia akan menyumbang kepada jumlah kedatangan pengunjung,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya dengan kerjasama Menara Taming Sari Berhad (MTSB), Zoo Melaka dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) turut berkolaborasi dengan menawarkan pakej baharu dengan diskaun khas.
“Kami turut perkenalkan pakej baharu berbentuk keluarga yang mana menerusi pakej ini pengunjung dapat masuk secara serentak ke semua empat lokasi dengan membayar harga istimewa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.