Pematuhan SOP COVID-19 keutamaan MIBC
AYER KEROH 10 Nov. – Pengurusan Pusat Boling Antarabangsa Melaka (MIBC) memberi jaminan keselamatan dan pematuhan prosedur standard operasi (SOP) dalam kalangan pengunjung menjadi keutamaan pihaknya dalam mencegah penularan COVID-19.
Pengurus Besarnya Mohd Fasarul Md Isa berkata, sejak dibuka selepas berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun lalu pihaknya sudah menyediakan garis panduan dan SOP seperti yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata, bagaimanapun selepas diumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kelmarin pihaknya telah memperhalusi dan menambah baik beberapa garis panduan operasi SOP bagi melancarkan operasi MIBC antaranya hanya 80 pemain dibenarkan pada satu masa berbanding 200 pemain sebelum ini.
“Sepanjang pelaksanaan PKPB operasi MIBC bermula dari 10 pagi hingga 10 malam dan hanya dua orang pemain sahaja dibenarkan bermain serta tidak dibenarkan penyokong berada dalam kawasan ‘bowling alley’ bagi memastikan penjarakan fizikal setiap individu.
“Setiap transaksi di kaunter juga hanya dibenarkan 10 orang dan setiap tanda amaran pangkah adalah kawasan larangan. Untuk memastikan pemain tidak alpa akan SOP dan penjagaan diri juga MIBC juga melakukan pengumuman setiap 15 minit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan pematuhan SOP bersama Ahli Lembaga Pengarah MIBC Mohd Hezir Abu Bakar, di MIBC, hari ini.
Menurut beliau, sudah pastinya setiap pengunjung atau pemain perlu merekodkan pendaftaran menggunakan aplikasi Mysejahtera serta melakukan imbasan suhu bagi memastikan mereka berada dalam keadaan sihat.
“Sebagai langkah pencegahan kami melakukan proses sanitasi dua kali sehari iaitu sebelum dan selepas tamat operasi serta bola dan kasut sewaan yang dipakai akan disanitasi setiap kali pemain selesai bermain.
“Selain itu, MIBC juga menyediakan cecair pembasmi kuman di setiap ‘lane’ serta poster berkenaan pematuhan SOP selain digalakkan pemain menggunakan kasut serta bola sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut Mohd Fasarul berkata, sepanjang tempoh PKPB ini pihaknya tidak membenarkan sebarang kejohanan atau pertandingan boling diadakan bagi mengelakkan individu berkumpul dalam kumpulan yang ramai.