Sorting by

×

Lexus, Proton X70 hadiah cabutan bertuah TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

KUALA LUMPUR 15 Disember – Sebanyak empat buah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 dan sebuah kereta Lexus menjadi antara tawaran istimewa buat pelancong bertuah yang menginap di negeri ini bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan berkata, lima buah kereta itu boleh dimenangi menerusi cabutan bertuah sepanjang tahun hadapan.

Jelasnya, tempoh penginapan selama tiga hari dua malam di mana-mana hotel terpilih adalah syarat utama bagi pelancong untuk menyertai program berkenaan.

“Pelancong yang datang ke Melaka perlu menginap di negeri ini selama dua malam di mana-mana hotel bertaraf dua hingga enam bintang.

“Kesemua lokasi penginapan ini mestilah pada hotel-hotel yang didaftar dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk menjayakan TMM2024 tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran program Tower Hunt di Menara Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad, Azlan Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd, Nazri Saad; Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Shaikh serta tetamu lain.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kerajaan Negeri menetapkan sasaran 15 juta hingga 18.7 juta pelancong dan pengunjung sepanjang tahun depan.

“Saya juga menyarankan agensi pelaksana pelancongan ini untuk tidak mengadakan sebarang program pada sebelah pagi tetapi juga diadakan pada sebelah petang ataupun malam dalam menarik minat pengunjung untuk menginap di Melaka sekurang-kurangnya satu malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1275
Kongsi :
Previous post Pelancaran TMM2024 meriah, boleh disaksikan secara langsung di China
Next post SPED persiap guru mendepani kurikulum STEM
Ubah saiz-+=