Menara Kuala Lumpur bantu rancakkan pelancongan sukan di Melaka
KUALA LUMPUR 15 Disember – Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. sedia bekerjasama dengan Melaka membantu merancakkan pelancongan sukan di negeri ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazri Saad berkata, mengambil contoh kerjasama julung kali antara Menara Taming Sari Berhad pihaknya yakin ia akan diteruskan pada masa akan datang sekali gus mampu mempromosi produk pelancongan Melaka dan Kuala Lumpur.
Menurutnya, pihaknya mengharapkan usaha itu dapat dilaksanakan pada masa akan datang sekiranya menerima kerjasama dari pelbagai pihak terutama Tourism Malaysia.
“Kita lihat kerjasama antara dua bangunan ikonik ini saling melengkapi dengan usaha yang kita laksanakan bagi mempromosikan produk pelancongan di dua negeri.
“Insya-Allah perancangan kita pada masa akan datang akan terus mengadakan kolaborasi ini terutama dalam membangunkan pelancongan sukan.
“Langkah yang diambil pada penganjuran ini bertepatan dan kita amat berbesar hati dengan penganjuran ini dan berharap dengan usaha yang dibawa Tourism Malaysia dan semua pihak mampu memastikan ia akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Tower Hunt diadakan di Menara Kuala Lumpur, di sini tengah hari tadi.
Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Ketua Pegawai Eksekutif Menara Taming Sari Berhad, Azlan Abidin; Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Shaikh serta tetamu lain.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.