Sorting by

×

Garisan bercahaya dalam gelap pada tiga jalan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

MELAKA, 12 Dis – Penggunaan garisan jalan bercahaya dalam gelap atau glow in the dark telah dilaksanakan di tiga jalan di Melaka, yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan akibat jalan gelap dan ancaman binatang liar.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata tiga jalan berkenaan ialah Jalan Kemuning-Hutan Percha di daerah Alor Gajah serta Jalan Tehel-Bukit Katil dan jalan Bemban-Serkam di daerah Jasin.

Beliau berkata tiga jalan berkenaan merupakan projek perintis, dengan tempoh enam bulan ditetapkan bagi melihat keberkesanan pelaksanaan, khususnya daripada kes kemalangan jalan raya di kawasan berkenaan.

“Tiga jalan berkenaan dipilih sebagai projek perintis itu, kerana tidak ada langsung sumber pencahayaan termasuk daripada lampu di kawasan perumahan atau kedai berhampiran jalan berkenaan.

“Penggunaan garisan glow in the dark bukan bertujuan menerangkan jalan, sebaliknya menjadi panduan kepada pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata setiap jalan berkenaan diwarnakan dengan garisan bercahaya dalam gelap sepanjang kira-kira 300 meter, terutama di kawasan khusus yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

Katanya sekiranya projek perintis berkenaan berjaya membantu mengurangkan kemalangan jalan raya, penggunaan garisan jalan seperti itu akan diperluaskan ke jalan lain yang berisiko, di seluruh Melaka.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5010
Kongsi :
Previous post Kes bunuh Zayn Rayyan: Rakaman video kamera kenderaan perlu penelitian lanjut
Next post KPDN Melaka serbu restoran sorok gula, minyak peket
Ubah saiz-+=