Stor jadi tumpuan polis cari bukti baharu kes Zayn Rayyan
Berdasarkan pemerhatian wartawan di lokasi, dua anjing Unit Pengesan (K9) dan beberapa anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat berada di dalam stor dan melakukan pemeriksaan di situ selama hampir empat jam.
Dua anjing pengesan dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA, Gucci dan Ricks, dibawa memasuki stor yang dipercayai menyimpan motosikal, kerusi plastik dan barangan kanopi.
Seekor daripadanya kemudian dibawa memasuki Blok R bagi melakukan pengesanan di beberapa unit rumah apartment terbabit.
Pemilik stor itu, Noraini Ahmad, 51, berkata stor tersebut sentiasa dikunci dan hanya dibuka sekiranya untuk mengeluarkan motosikal bagi kegunaan harian ahli keluarganya.
“Kira-kira sejam selepas anjing pengesan dibawa masuk ke dalam stor, pihak polis memberitahu saya mereka telah selesai melakukan siasatan dan membenarkan saya mengunci kembali stor berkenaan.
“Namun, tidak lama kemudian polis menghubungi semula untuk membuka kunci stor bertujuan untuk menyambung semula kerja-kerja penyiasatan,” katanya kepada media yang berada di lokasi sejak 10 pagi tadi.
Unit K9 dan Unit Forensik dilihat meninggalkan lokasi pada 2.15 petang.
Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi meninjau lokasi itu pada 11.15 pagi.
Semalam, dua anjing K9, Falco dan Jimmy juga dibawa ke lokasi penemuan mayat Zayn Rayyan di anak sungai berdekatan Blok R.
Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai sebelum ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai berhampiran kediamannya keesokannya, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.