Kapal kargo bersauh tanpa kebenaran ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LINGGI 7 Disember – Sebuah kapal kargo yang didaftarkan di Panama ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohd Khairi Abdul Aziz berkata, penahanan itu dilakukan selepas kapal yang berada di kedudukan 8.8 batu nautika barat daya Pulau Besar itu didapati bersauh tanpa kebenaran.

Menurutnya, kesalahan tersebut dikesan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA), sebelum bot PETIR 84 yang sedang membuat rondaan Op Murni / Op Tiris Fasa 2.0 telah digerakkan ke lokasi.

“Setiba dilokasi, anggota Maritim Malaysia mendapati seramai 14 kru termasuk kapten kapal warga Ukraine dalam lingkungan 22 hingga 70 tahun berada di atas kapal kargo tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal yang didaftarkan di Panama itu disyaki melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Seorang kru kemudian dibawa ke pejabat bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Maritim Malaysia sentiasa peka dan serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan undang-undang agar perairan negara selamat daripada sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan negara.

Jelasnya, bagi membanteras kegiatan seperti itu, orang ramai diminta untuk membantu pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat salah laku di laut ke
Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4129
Kongsi :
Previous post Caj gunting rambut RM120, pemilik kedai didenda kerana gagal pamer harga
Next post Naik taraf perabot jalan atasi kemalangan di Persimpangan Pasir Gembur
Ubah saiz-+=