64 lampu solar terangi Lebuh SPA
AYER KEROH 7 Disember – Sebanyak 64 unit lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) menggunakan tenaga solar siap dipasang Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, lampu berkenaan dipasang berhampiran persimpangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) menghala ke Universiti Teknikal Melaka (UTeM).
Menurutnya, kerja peningkatan aspek keselamatan jalan raya itu membabitkan pemasangan 32 tiang lampu yang setiap atu dilengkapi dua unit lampur solar.
“Pemasangan lampu solar LED ini merupakan yang keempat selepas projek rintis dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, Tanjung Bidara dan Rim.
“Selain meningkatkan lagi aspek keselamatan, inisiatif ini membantu kita berjimat daripada segi perbelanjaan untuk bil elektrik dan penyelenggaraan selain ia selaras hasrat Kerajaan Negeri yang mengutamakan teknologi hijau,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Hameed berkata, inisiatif berkenaan adalah antara proses naik taraf kemudahan di negeri ini bagi keselesaan semua pihak termasuk pelancong menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Jelas beliau, selain lampu solar Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka turut meningkatkan aspek keselamatan di laluan dikategorikan sebagai gelap dengan penggunaaan garisan jalan bercahaya atau ‘glow in the dark’.
“Usaha menaik taraf kemudahan di Negeri Melaka dilaksanakan secara berterusan, insya-Allah tahun hadapan kita akan usahakan lebih lagi demi manfaat semua terutama rakyat.
“Menjadi matlamat dan hasrat Kerajaan Negeri untuk memastikan jalan-jalan perhubungan yang ada di Melaka selamat buat semua pengguna,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.