Buka kursus Paramedik Komuniti kepada persatuan, NGO
AYER KEROH 7 Disember – Inisiatif Paramedik Komuniti bakal dilaksanakan Kerajaan Negeri bermula 2024 mampu melahirkan masyarakat yang lebih peka terhadap sebarang situasi cemas atau kemalangan di sekeliling mereka.
Pengerusi Persatuan Sukarelawan Bencana Melaka, Ashwad Abd Rahim berkata inisiatif cetusan idea Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu diyakini akan meningkatkan lagi jumlah individu yang memiliki kemahiran dalam memberikan rawatan awal kecemasan dan tidak terhad kepada sukarelawan dilantik semata-mata.
Bagi memperkasakan lagi inisiatif itu Ashwad, mencadangkan agar Kerajaan Negeri membuka kursus Paramedik Komuniti kepada ahli persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan kebajikan.
“Cadangan ini jika dilaksanakan akan mewujudkan komuniti yang berilmu dalam bidang kesihatan seterusnya memberi faedah kepada masyarakat akan datang.
“Saya amat menyokong inisiatif ini, kehadiran pasukan Paramedik Komuniti sangat diperlukan apatah lagi tahun hadapan adalah Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Jelasnya, sekiranya berlaku insiden melibatkan pelancong di kawasan yang sesak, tempoh tindak balas pasukan kecemasan akan menjadi lebih lama, berikutan itu peranan Paramedik Komuniti dalam memberikan rawatan awal amat diperlukan.
“Tanpa pengetahuan bantuan awal kecemasan usaha menyelamatkan nyawa mangsa yang mungkin mengalami masalah kesihatan serius menjadi tipis. Tetapi jika kita boleh tambah jumlah individu ada pengetahuan itu lebih banyak nyawa dapat diselamatkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.