Sorting by

×

TMM2024 beri nafas baharu industri perhotelan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 7 Disember – Pemain industri perhotelan menyambut baik inisatif yang ditawarkan Kerajaan Negeri bagi memastikan pelancong menginap di negeri ini sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Melaka Chapter, Khairulnizam Kasim berkata, inisiatif seperti tawaran hadiah cabutan bertuah menarik termasuk enam buah kereta khas buat pelancong bertuah yang menginap lebih dua malam sempena TMM2024 berupaya memperkasa industri perhotelan di negeri ini.

Jelas beliau, menerusi inisiatif itu, pelancong akan memanfaatkan Melaka sebagai destinasi percutian bersama keluarga, sekali gus membantu dalam meningkatkan statistik jumlah pelancong di hotel-hotel seluruh negeri.

“Pada pendapat kami ia merupakan satu usaha yang amat baik sebagai satu langkah menarik pelancong baik domestik mahupun luar negara menginap lebih dua malam di Melaka sepanjang TMM2024.

“Berdasarkan statistik, rata-rata pengunjung yang datang ke Melaka hanya akan menginap selama satu setengah hari saja, jadi program ini membantu industri perhotelan untuk beroperasi dalam menjana ekonomi sepanjang sambutan itu tahun hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, Khairulnizam berkata, TMM2024 disifatkan sebagai satu langkah baik dalam mempergiatkan sektor pelancongan dan membawa limpahan dalam industri perhotelan serta perkhidmatan pelancongan yang ada di negeri ini.

Katanya, TMM2024 yang dijayakan dengan pelbagai penganjuran acara utama tahun hadapan diyakini mampu menggamit jutaan pelancong ke Melaka.

“Dengan pelbagai acara yang dilancarkan dan dirancang dengan teliti mampu memberi pengalaman mengamit memori, selain menjadi satu titik yang boleh menyebabkan pelancong akan kembali datang semula ke negeri ini, bukan saja pada TMM2024.

“Malah, TMM2024 ini juga tidak tertumpu dalam bandar tetapi ada juga program di luar bandar yang mana sektor baru diperkenalkan akan lebih menonjol pada sambutan itu.

“Dan ini akan membuat satu putaran yang baik di mana apabila ada pelancong, secara tidak langsung peniaga kecil, peruncit dan sebagainya turut menerima limpahan ekonomi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1086
Kongsi :
Previous post Lebih RM33 juta kerugian tipu dalam talian di Melaka
Next post Hina Melayu: Mak Cik Kemboja, anak mengaku tidak bersalah
Ubah saiz-+=