Maut dirempuh motosikal, dua kereta
ALOR GAJAH 6 Disember – Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah lagi motosikal dan dua kereta dalam kemalangan di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Rembia di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 7.15 malam itu, Razak Abdul Rahman, 44 yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda maut di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Seorang lagi penunggang motosikal Yamaha 125Z berusia 24 tahun cedera di bahagian tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Alor Gajah menghala ke Melaka.
Katanya, mangsa yang berada pada laluan kiri telah mengubah haluan ke lorong kanan untuk membuat pusingan U.
“Bagaimanapun, sebuah lagi motosikal yang ketika itu berada di lorong kanan tidak sempat mengelak motosikal mangsa lalu merempuhnya.
“Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh di lorong kanan dan pada masa sama dua buah kereta masing-masing Honda Jazz dan BMW yang berada di laluan itu tidak sempat mengelak turut terlanggar mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
“Seorang lagi penunggang motosikal yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut manakala dua pemandu diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.
“Semua kenderaan terlibat ditahan untuk dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.