Bajet Melaka 2024: 70 acara utama perlu dipromosi meluas
AYER KEROH 6 Disember – Langkah mempromosi 70 acara utama sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) perlu dilaksanakan lebih meluas menerusi pelbagai platform bagi memastikan penganjurannya berjalan lancar.
Presiden Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Madelina Kuah berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Negeri menerusi pembentangan Bajet Melaka 2024.
Katanya, ia bagaimanapun memerlukan promosi seawal yang mungkin dan lebih meluas menerusi pelbagai platform.
Justeru jelasnya, pihaknya serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan sedia bekerjsama bersama Kerajaan Negeri bagi memastikan usaha mempromosikan acara-acara yang dianjurkan terus sampai ke pelancong yang bakal datang ke negeri ini.
“Kita berharap agar pengiklanan dan perbelanjaan promosi (A&P) turut disalurkan ke NGO dalam usaha membantu mempromosi setiap acara ini sempena TMM2024.
“Langkah ini perlu dilaksanakan berterusan kerana pelancong yang datang perlu tahu apa tarikan yang ada di Melaka termasuk program yang dianjurkan dalam usaha menggamit kedatangan mereka.
“Kita berharap agar menerima sedikit peruntukan untuk bersama-sama mempromosikan TMM2024 kerana kami bersedia untuk bekerjasama dan kami turut mempunyai idea masing-masing jika diberi peluang.
“Ini berikutan pelbagai penganjuran itu menawarkan pelbagai hadiah dan tarikan tersendiri jadi, usaha mempromosikan TMM2024 menerusi pelbagai platform perlu diketengahkan secepat yang mungkin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, menerusi pembentangan Bajet Melaka 2024, Kerajaan Negeri mengumumkan 70 acara utama dirancang Melaka Heritage and Cultural Park Centre Pavillion akan dianjurkan mengikut tema bulanan.
Antaranya, tema pelancongan budaya akan dianjurkan pada Januari, pelancongan sejarah, pada Februari, Agama dan Pendidikan pada Mac, pelancongan keluarga pada April serta pelbagai lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.