Sorting by

×

Melaka tambah baik prasarana, logistik sektor pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PUTRAJAYA 4 Disember- Pembangunan prasarana dan penambahbaikan aliran trafik antara perkara yang akan diberi tumpuan bagi mempertingkatkan kualiti sektor pelancongan Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sebagai langkah awal dalam persediaan negeri ini menganjurkan tiga acara besar pelancongan utama iaitu Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), Hari Pelancongan Dunia (WTD) 2025 dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah bersiap sedia dalam penganjuran besar itu, termasuk menambah baik aspek penyuraian trafik bagi mengurangkan kesesakan di lokasi tumpuan pelancong.

“Kita sudah melaksanakan persediaan dengan lebih awal dengan melakukan penyuraian trafik di Melaka seperti inisiatif melaksanakan laluan kontra di Banda Hilir bagi mengatasi kesesakan lalu lintas pada pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

“Zon Bebas Kenderaan juga merupakan antara alternatif mengurangkan kesesakan yang mana inisiatif ini kita telah mulakan sejak enam bulan lalu dan kajian lanjut masih kita jalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat ‘Kick-Off’ Penganjuran WTD dan WTC 2025v di Bilik Mesyuarat Perdana, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari; Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Abdul Rahman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Md Azhan Samat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Salhah Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron serta tetamu lain.

Mengulas lanjut mengenai laluan kontra berkenaan, Ab Rauf memaklumkan, laluan itu dijangka bakal bermula pada 15 Disember ini.

Jelas Ketua Menteri, pelaksanaan laluan kontra itu dijangka bakal mengurangkan 40 peratus kesesakan di Banda Hilir.

“Memandangkan Melaka merupakan kota tua dan tertakluk kepada undang-undang warisan, jadi kita tidak buat apa-apa pembangunan baharu.

“Oleh itu, kaedah terbaik adalah dengan mengubah haluan jalan, yang mana saya yakin ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesesakan dan membantu penyuraian trafik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1070
Kongsi :
Previous post eMADANI: Elak jadi mangsa penipuan tawar perkhidmatan penebusan tunai
Next post Laluan kontra Jalan Little India-Banda Kaba beroperasi 15 Disember depan
Ubah saiz-+=