Lebih 7,000 pengunjung banjiri Karnival D’Bendang
SUNGAI RAMBAI 4 Disember – Hampir 7,000 pengunjung membanjiri Karnival D’Bendang yang diadakan tiga hari bermula 1 Disember dan berakhir semalam.
Ahli Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis berkata lebih 24 pertandingan menarik yang diadakan termasuk pertandingan Ratu Bendang, pertandingan memancing Raja Puyu dan Gusti Lengan serta lain-lain menerima reaksi positif pengunjung.
Katanya, turut diadakan saringan kesihatan, pameran dari agensi seperti Perkeso, Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan serta program Jualan Rahmah turut diadakan.
“Rata-rata pengunjung yang terdiri daripada penduduk sekitar dan orang luar memang memberikan reaksi positif dengan penganjuran karnival yang dibuat julung kalinya ini.
“Ini sebagai satu titik mula untuk ekopelancongan di Sungai Rambai dan memang ini pun hasrat saya apabila bergelar Adun Sungai Rambai.
“Hasrat saya selepas ini, kita akan rancakkan lagi karnival yang akan diangkat menjadi acara tahunan seperti hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Perasmian Karnival D’Bendang yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Kem Benteng Negara, Parit Penghulu, Sungai Rambai di sini semalam.
Hadir sama, Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Siti Faizah berkata lokasi dan tarikan di Sungai Rambai yang sangat cantik berpotensi untuk menarik pelancong mengalami suasana kampung dalam kawasan sawah padi.
“Kita juga telah mendapat kerjasama lebih daripada 50 agensi dan kementerian, serta 60 usahawan dan pengusaha dalam bidang agro bagi menjayakan karnival ini.
“Sudah pasti kita mengharapkan karnival ini dapat dilakukan dengan lebih baik dan lebih besar pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.