KPM ikut garis panduan jika calon SPM terjejas banjir – Fadhlina

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

JOHOR BAHRU, 3 Dis — Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengikut garis panduan ditetapkan termasuk melakukan pemindahan atau menghentikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) membabitkan pelajar yang terjejas sekiranya keadaan banjir semakin buruk.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata pihaknya telah melakukan persediaan dengan baik bagi memastikan pelajar tidak terkesan akibat banjir, sekali gus peperiksaan berjalan dengan lancar bermula Selasa ini.

“Kita ada garis panduan dan juga persiapan (termasuk) melakukan pemindahan dan sebagainya sekiranya berlaku banjir. 

“Sepertimana yang berlaku tahun lepas, apabila ada peperiksaan (SPM) yang terpaksa dihentikan kerana terputus perjalanan dan sebagainya, perlu ada peperiksaan ulangan. Jadi, itu semua telah kita siapkan dalam garis panduan dan persiapan kita,” katanya ketika diminta mengulas mengenai persediaan KPM sekiranya keadaan banjir semakin buruk ketika peperiksaan SPM berlangsung.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas aksi final Liga Piala KPM-FAM B17 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang di sini malam tadi.

Fadhlina sebelum ini dilaporkan berkata peperiksaan SPM tetap akan dilaksanakan termasuk di kawasan yang dilanda banjir kerana KPM telah membuat persiapan teliti bagi memastikan peperiksaan itu berjalan seperti dijadualkan.

Bagaimanapun, calon dinasihatkan untuk memaklumkan segera kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan yang ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran disebabkan bencana.

Ujian Amali Sains peperiksaan SPM Tahun 2023 bermula pada 5 hingga 7 Dis ini, dengan 91,908 calon telah mendaftar bagi mata pelajaran Fizik, manakala bagi subjek Kimia ialah 93,135 calon, Biologi (72,841 calon) dan Sains Tambahan (1,784 calon).

Terdahulu, perlawanan akhir malam tadi menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desa Skudai (Akademi JDT B-17) dari Johor, muncul juara selepas menewaskan SMK Syed Hassan dari Perlis 1-0.

Fadhlina berkata lebih banyak penganjuran kejohanan sukan seumpama itu akan dijayakan pada masa akan datang untuk mencungkil bakat pelajar berpotensi.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1423
Kongsi :
Previous post Sambutan TMM2024 ditunggu ramai
Next post Polis kesan lelaki tikam peniaga makanan di Ipoh
Ubah saiz-+=