Melaka bakal miliki kawasan teknologi masa depan

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

SERI NEGERI 30 November – Tapak seluas 2,023 hektar (5,000 ekar) di koridor utara Melaka yang bakal dibangunkan sebagai kawasan perindustrian baharu bakal menjadi kawasan teknologi masa depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kawasan industri baharu itu bakal melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Taboh Naning, Lendu, Tanjung Bidara dan Kuala Linggi.

Kewujudan prasarana baharu itu, menurut Ketua Menteri, adalah bertujuan menggantikan kawasan perindustrian lama yang telah berusia setengah abad.

“Lima puluh (50) tahun lalu, kita mempunyai dua kawasan Free Trade Zon (FTZ) iaitu Batu Berendam dan Tangga Batu. Ketika ia diwujudkan, teknologi masih belum berkembang, jadi dengan perubahan pada masa kini, kita melihat perlunya kewujudan prasarana dan fasiliti baharu di negeri ini.

“Kawasan ini sekali gus bakal menjadi sebuah kawasan perindustrian baharu masa depan yang mana ia berupaya menarik dan menerima pelabur dengan kemudahan terkini.

“Buat masa ini, Perbadanan Melaka (MCorp) sedang membuat kajian dan lakaran kawasan yang akan dikenal pasti untuk dijadikan kawasan perindustrian baharu di Utara Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengenai kesiapsiagaan kawasan industri baharu di Negeri Melaka pada hari terakhir Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, kawasan perindustrian yang dinamakan MCorp Hi Tech Park itu bakal dibuka secara berfasa.

Jelas beliau, untuk fasa pertama, 404 hektar (1,000 ekar) tanah bakal diperoleh untuk dimajukan pada pertengahan tahun depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1345
Kongsi :
Previous post 10 syarikat berminat melabur di Taman Perindustrian Jerman
Next post Hot Air Balloon TMM2024 dipindahkan ke Pavilion Dataran Pahlawan
Ubah saiz-+=