KPDN Melaka rekod 303 kes rampas RM1.6 juta barangan
SERI NEGERI 29 November – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka merekodkan sebanyak 303 kes atas pelbagai kesalahan membawa kepada nilai rampasan berjumlah RM1,619,571.85 setakat Oktober lalu.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Choo Chin berkata, manakala sejumlah RM54,200 kompaun telah dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.
“Antara kes diambil tindakan adalah kesalahan di bawah Seksyen 12(1) Akta Perlindungan Pengguna (APP) 1999 berkaitan gambaran mengelirukan mengenai harga, sementara itu satu lagi kes bagi kesalahan tiada tanda harga di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Kami juga menerima tiga aduan mengenai pertanyaan umum harga ayam di pasaran, namun tiada tindakan kes diambil. Setakat ini sebanyak lima aduan rasmi berkaitan harga ayam diterima dan dua daripadanya menghasilkan kes.
“Selain itu, KPDN Melaka telah merekodkan sebanyak 1,031 aduan rasmi yang mana secara amnya berkaitan tentang perihal harga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Zahari Abd Kalil (BN-Durian Tunggal) mengenai isu kenaikan harga barang dan kekurangan barangan keperluan pada hari ketiga Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata KPDN Melaka sentiasa melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).
“Ia bagi memastikan tiada aktiviti pengambilan untung secara berlebihan dan manipulasi harga oleh peniaga yang tidak bertanggung jawab disemua peringkat perniagaan.
“Selain itu kami mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan, KPDN sentiasa bersedia dan melaksanakan pemantauan bagi memastikan tidak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.