Sorting by

×

Pesara tentera maut, dua lagi cedera

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

ALOR GAJAH 28 November – Seorang lelaki warga emas maut manakala dua lagi cedera parah apabila terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Jalan Solok Duku, Masjid Tanah di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 7.50 pagi itu, mangsa yang juga pesara tentera menunggang motosikal jenis Honda, Sulaiman Saleh, 61 maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha Y15 berusia 20 tahun patah tangan dan seorang lagi penunggang motosikal Honda EX5 berusia 32 tahun luka ringan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata siasatan awal mendapati pesara tentera berkenaan baharu sahaja selesai membeli makanan di warung tepi jalan di Jalan Solok Duku dan membuat pusingan U menghala ke arah Masjid Tanah.

Katanya, ketika membuat pusingan U itu, sebuah lagi motosikal ditunggang lelaki berusia 20 tahun yang datang dari arah Masjid Tanah tidak sempat mengelak lalu merempuh sisi kanan motosikal ditunggang lelaki warga emas berkenaan.

“Susulan pelanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah lagi motosikal ditunggang lelaki berusia 32 tahun.

“Akibat kemalangan itu, mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi penunggang cedera,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Katanya, semua kenderaan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3362
Kongsi :
Previous post PBT terima lebih 4,000 aduan anjing liar
Next post Melaka kurangkan caj deklarasi kastam, mansuh caj deklarasi antara zon
Ubah saiz-+=