Sorting by

×

Geng motor ‘lejen’ berkonvoi sambil beramal

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SERKAM 26 November – Tidak berfaedah dan membuang masa. Itu antara stigma negatif yang sering dilemparkan terhadap aktiviti konvoi bermotosikal yang menjadi trend di negara ini.

Namun, tanggapan itu nyata berbeza dengan apa yang diperjuangkan kelab motosikal Goldwing 1500 Malaysia (G15M).

Peminat motosikal legenda yang popular sekitar era 90-an itu membuktikan penubuhan G15M bukan hanya berkisar kepada minat mendalam dalam dunia permotoran, bahkan lebih daripada itu.

Whatsapp Image 2023 11 25 At 10.41.17 Pm
AWALLUDDIN

Wakil G15M Awalluddin Sham Bokhari, 53 berkata, kelab yang mempunyai lebih 150 ahli itu pada asalnya ditubuh bertujuan untuk mengumpulkan semua pemilik motosikal Goldwing 1500cc di seluruh negara.

Selain menjadi medan berkongsi minat yang sama, G15M juga ujarnya, banyak melakukan jelajah ke seluruh negara dalam mempromosi sektor pelancongan negara.

Malah, katanya, siri jelajah itu turut diselitkan dengan pengisian program amal jariah dengan menyampaikan sumbangan kepada komuniti atau institusi terpilih.

“Seperti program Roadtrip To Melaka 2023 ini, kami bukan hanya mahu mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dengan menjelajah ke destinasi pelancongan terkenal di negeri ini, bahkan pada masa sama turut beramal dengan menyampaikan sumbangan kepada masjid terpilih.

“Untuk program ini, G15M telah memilih Masjid Laksamana Hang Tuah di Duyong yang difahamkan memerlukan sumbangan bagi kerja baik pulih.

“Sumbangan yang akan diserahkan kepada jawatankuasa masjid itu adalah adalah hasil kutipan daripada ahli G15M di seluruh negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada majlis makan malam G15M di sebuah restoran ikan bakar di Umbai, di sini.

Menurut Awalluddin, program Roadtrip To Melaka 2023 pada 25 dan 26 November merupakan acara konvoi penutup tahun 2023 yang disertai 40 buah motosikal Goldwing 1500cc dari seluruh negara seperti Melaka, Johor, Perlis, Kedah, Perak dan Pahang, selain Singapura.

Sepanjang tahun hadapan, ujarnya, G15M akan terus melebarkan sayap dengan merangka pelbagai program bermanfaat kepada ahli dalam usaha memperkukuh jalinan ukhwah yang telah terjalin.

Malah, katanya, G15M juga berhasrat untuk menyertai dan memeriahkan Jambori Permotoran Malaysia sempena TMM2024 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Jun tahun depan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2149
Kongsi :
Previous post Cadang anjurkan hari perancangan bandar di Melaka – KM
Next post Safety Nite Rider Alor Gajah 2023 promosi TMM2024
Ubah saiz-+=