MPAG giat indahkan Alor Gajah sempena TMM2024
ALOR GAJAH 26 November – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) giat mengindahkan seluruh kawasan pelancongan termasuk meningkatkan pencahayaan di bawah kawasan pentadbirannya menjelang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Yang Dipertuanya, Tpr Saifuddin Abdul Karim berkata antara tumpuannya seperti mengindahkan seluruh jalan raya utama dengan landskap yang terbaharu.
Katanya, kerja-kerja mengindahkan Alor Gajah turut dilakukan di pintu-pintu masuk ke negeri ini.
“Sebagai persiapan menjelang TMM2024, Kita akan menumpukan aspek-aspek keceriaan dan keindahan lokasi pelancongan, infrastruktur dan kemudahan awam.
“Selain itu, MPAG turut bekerjasama dengan jabatan serta agensi kerajaan lain untuk menaik taraf papan-papan tanda yang sudah pudar dan kabur.
“Pintu masuk utama seperti di Plaza Tol Simpang Ampat juga sedang giat dilakukan dan kita akan naikkan satu papan tanda led serta menambah teknik pencahayaan di jalan-jalan yang suram dan gelap,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Melaka Hari Ini selepas Program ‘Safety Nite Rider Alor Gajah 2023’ yang dirasmikan oleh Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin di Dataran Keris, di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata pihaknya turut giat menjalankan kerja-kerja naik taraf kemudahan awam di kawasan pantai-pantai.
“Dalam daerah Alor Gajah, kita ada banyak pantai peranginan yang sering dikunjungi pelancong luar dan dalam negeri.
“Kita akan naik taraf kemudahan awam di pantai-pantai untuk keselesaan pengunjung menjelang TMM2024,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.