Hasilkan kandungan ‘POV’ promosi Melaka – KM
AYER KEROH 24 November – Semua penjawat awam di negeri ini digalakkan untuk menterjemahkan kreativiti mereka dengan menghasilkan kandungan ‘point of view’ (POV) di media sosial untuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penjawat awam adalah duta dalam mempromosikan negeri ini khusus Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
“Saya mahu semua penjawat awam menjadi duta bagi Melaka, bersama-sama membantu kerajaan dalam menyebarluaskan dan mempromosi negeri ini di media sosial masing-masing.
“Gunakanlah segala kreativiti anda semua untuk menghasilkan ‘content’ (kandungan) atau POV menarik yang boleh menggamit ‘followers’ anda dengan keindahan dan keunikan negeri ini.
“Saya amat menghargai usaha itu yang mungkin dianggap kecil tetapi memberi makna amat besar kepada Kerajaan Negeri, ‘Mana Lagi? Melaka Ler’,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka Bagi Bulan November 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin, barisan Exco, Timbalan Exco, ketua jabatan serta agensi Kerajaan Negeri.
Ab Rauf juga mengingatkan agar jabatan dan agensi Kerajaan Negeri menyusun persiapan pelancaran TMM2024 dengan teliti.
“Pelancaran ini akan menentukan kelancaran program-program yang dirancang sepanjang 2024. TMM2024 merupakan persiapan dan persediaan kita untuk menjadi tuan rumah kepada Hari Pelancongan Dunia atau World Tourism Day 2025 (WTD 2025).
“Pemilihan Malaysia dengan Melaka sebagai tuan rumah diputuskan oleh Pertubuhan Pelancongan Sedunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), justeru kita tidak boleh mensia-siakan kepercayaan dan peluang yang diberi.
“Ini merupakan satu pengiktirafan besar yang bakal menyaksikan negeri ini menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa dengan 155 ketua negara UNWTO bakal berkampung di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.