Iktiraf SM-WEZ sebagai Koridor Wilayah Ekonomi Nasional – KM
BANDA HILIR 23 November – Pengiktirafan ‘Straits of Melaka Waterfront Economic Zone’ (SM-WEZ) sebagai Koridor Wilayah Ekonomi Nasional amat penting bagi meningkatkan lagi tahap keyakinan pelabur berkualiti untuk bertapak di negeri ini.
Komitmen Kerajaan Negeri itu dizahirkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) Antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri Dengan Kerajaan Negeri 2023, berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, mesyuarat itu amat penting kerana ia turut dipengerusikan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Ketua Menteri berkata, mesyuarat itu juga memfokuskan beberapa indikator yang menjadi tumpuan utama berkaitan pelaburan, perdagangan dan industri di Negeri Melaka.
“Besar harapan saya agar mesyuarat ini dapat menghasilkan keputusan-keputusan strategik yang memberi impak positif kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Negeri Melaka.
“Kerajaan Negeri juga mahu meneroka bidang pelaburan automotif kenderaan cekap tenaga (EEV) dan kenderaan elektrik (EV), turut disentuh cadangan mewujudkan kawasan perindustrian baharu sebagai Projek Nasional menerusi Pembangunan Hab Perindustrian Baharu Negeri Melaka.
“Cadangan ini membabitkan MCORP Hi-Tech Park (MHTP), Taman Perindustrian Jerman dan Elkay Industrial Park Fasa II (ELKAY 2) di Jasin,” kata Ketua Menteri menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Terdahulu mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh dan lain-lain kenamaan.
Sementara itu pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan Ketua Menteri berkata, perjumpaan empat mata bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri adalah peluang terbaik untuk memperkenalkan kawasan-kawasan industri baharu yang dirancang.
“Kita akan pastikan perancangan yang dibuat mendapat sokongan Kerajaan Persekutuan khususnya untuk memajukan SM-WEZ,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.