Arca jerami tarikan Karnival D’Bendang
BANDARAYA MELAKA 23 November – Arca yang diperbuat daripada jerami dijangka menjadi tumpuan sepanjang berlangsungnya Karnival D’Bendang Sungai Rambai, dari 1 hingga 3 Disember ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Siti Faizah Abdul Azis berkata, penghasilan arca daripada jerami itu bertujuan memberi pendedahan kepada golongan muda terutamanya mengenai kehidupan pesawah dan produk yang boleh dihasilkan daripada tanaman diusahakan.
Katanya, arca jerami itu nanti akan dihasilkan oleh kira-kira 65 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) termasuk pensyarah sebelum dipamerkan sekitar tapak karnival untuk tatapan pengunjung.
“Sebanyak 50 tan jerami akan digunakan untuk menghasilkan 10 jenis arca seperti bentuk buah-buahan, kenderaan dan haiwan dalam pelbagai saiz.
“Saya yakin arca ini akan menjadi tarikan pengunjung, malah mereka berpeluang untuk bergambar,” katanya pada sidang media selepas bersiaran pada Segmen ‘Apa Khabau YB’ di MelakaFM, di sini, hari ini.
Menurutnya, penganjuran pertandingan memancing ikan puyu juga antara aktiviti dijangka menjadi tumpuan dan setakat ini penyertaan sudah mencapai 1,000 orang.
“Sasaran bagi pertandingan memancing ini adalah 1,500 orang. Penyertaan menggalakkan mungkin kerana hadiah utama yang ditawarkan adalah sebuah Proton Waja bernilai kira-kira RM20,000.
“Hadiah sampingan lain yang lumayan juga menanti pemenang, pertandingan ini juga mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.