Peruntukan lebih besar untuk kesihatan pada Bajet 2024
BANDARAYA MELAKA 24 November – Sektor kesihatan diharap diberikan perhatian dan menerima peruntukan lebih besar pada pembentangan Bajet Negeri Melaka 2024.
Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abd Azis berkata, menjadi hasrat pihaknya untuk menaik taraf infrastruktur selain kemudahan dianggap daif, sekali gus menyediakan perkhidmatan lebih menyeluruh serta berkualiti kepada rakyat Melaka.
Siti Faizah berkata, dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik, pihaknya akan memohon pembinaan klinik kesihatan baharu termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai.
“Selain klinik kesihatan ketiga-tiga hospital awam di negeri ini juga diberikan perhatian, kita akan pantau keperluan di semua kemudahan kesihatan berkenaan.
“Malah kita juga akan lihat balik peralatan kesihatan sedia ada, perlu ditambah atau sebaliknya,” katanya pada sidang media selepas bersiaran pada Segmen ‘Apa Khabau YB’ di MelakaFM, di sini, semalam.
Kerajaan Negeri pada sesi Town Hall Bajet 2024 memaklumkan lapan fokus akan diberi keutamaan dalam merangka Bajet 2024 Negeri Melaka sebagai usaha memastikan rakyat pada semua peringkat masyarakat mendapat manfaat.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penekanan pada lapan fokus itu juga bertujuan melonjakkan tahap pencapaian ekonomi, menjana pertumbuhan lebih rancak, mewujudkan kesejahteraan sosial serta memastikan semua kelompok masyarakat, khususnya B40, dilindungi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.