Sorting by

×

Ajak orang muda teroka perniagaan digital

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

LENDU 23 November – Lebih 80 peserta mengambil bahagian pada Mini Karnival Usahawan Program Menjana Pendapatan Berniaga Tanpa Kos Dan Kelas TikTok di Dewan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Masjid Tanah, di sini, baru-baru ini.

Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu Mohd Khairul Musa berkata, penganjuran program itu bertujuan untuk melahirkan lebih ramai usahawan digital, sekali gus meluaskan lagi pasaran pelbagai produk tempatan.

Katanya, penyertaan juga amat memberansangkan kerana bukan sahaja mengumpulkan usahawan digital sekitar Masjid Tanah, sebaliknya ada yang  datang dari Pasir Puteh, Kelantan.

“Selain orang muda seawal 18 tahun kita juga ada peserta warga emas berusia 60-an, ini membuktikan perniagaan menggunakan medium media sosial seperti TikTok tidak ada batasan umur, siapa ada kemahuan kami alu-alukan untuk bersama.

“Kami juga membawa dua usahawan digital yang sudah berjaya untuk berkongsi pengalaman, teknik pemasaran dan meneroka platform media sosial, sekali gus menjadikan peserta lebih celik perniagaan ‘online’ (dalam talian).

“Harapan saya adalah menerusi program sehari ini akan memberikan manfaat kepada peserta dan membantu meningkatkan lagi hasil jualan mereka, kerana dunia maya atau digital ini amat luas tidak ada batasan,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Mohd Khairul juga menyarankan agar peniaga dalam talian khusus di Masjid Tanah untuk berdaftar dengan agensi berkaitan agar mereka dapat dibantu untuk terus berkembang menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan.

Sementara itu bagi perancangan masa hadapan Mohd Khairul bercadang untuk mewujudkan sebuah ‘digital office’ yang menjadi pusat sehenti aktiviti usahawan dalam talian.

“Kemudahan ini adalah untuk mengurangkan kos usahawan, jika menyewa pasti perbelanjaan mereka akan meningkat. Mengikut perancangan digital office ini akan dikongsi bersama oleh usahawan bagi menjalankan aktiviti seperti pengiklanan dan pemasaran.

“Malah kita juga boleh bantu mereka daripada segi khidmat nasihat seperti dalam aspek penghasilkan video atau bahan pengiklanan berkualiti dan menarik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1184
Kongsi :
Previous post Arca jerami tarikan Karnival D’Bendang
Next post Warga emas, OKU dan ibu mengandung antara terjejas, lif tidak berfungsi
Ubah saiz-+=