Sorting by

×

TMM2024: Klebang tawar produk pelancongan baharu

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

KLEBANG 23 November – Penginapan istimewa di dalam ladang kelapa dan avocado antara produk pelancongan baharu yang akan diperkenalkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong berkata, produk baharu itu dibangunkan di tapak seluas 23 ekar di Bukit Rambai dan bakal beroperasi tidak lama lagi.

Menariknya, beliau memaklumkan, ladang berkonsepkan ekopelancongan itu membolehkan pengunjung menikmati keindahan alam semula jadi, selain belajar mengenai pertanian moden yang diperkenalkan.

“Dengan adanya tarikan terbaharu ini, ia secara tidak langsung menambahkan lagi produk pelancongan menarik yang ada di DUN Klebang dan ia dibuka tepat pada masanya memandangkan kita bakal menyambut TMM2024 tidak lama lagi.

“Saya juga percaya, usaha pihak swasta membangunkan kawasan tarikan pelancongan seperti ini secara tidak langsung menyokong agenda dalam Pelan Induk Pelancongan Negeri Melaka dalam subsektor ekopelancongan.

“Pada masa sama, tarikan seperti ini juga memberikan lebih pilihan kepada pelancong untuk datang ke Melaka, walaupun mereka telah banyak kali melancong ke negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pusat penginapan dalam ladang kelapa di Bukit Rambai, di sini, semalam.

Photo1700640864
AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong meninjau pokok kelapa yang ditanam di sebuah ladang berkonsepkan ekopelancongan di Bukit Rambai. Foto Iqmal Haqim Rosman

Berkongsi visi dan misinya, Ban Hong berkata, sebagai wakil rakyat kawasan, beliau mahu DUN Klebang lebih dikenali sebagai antara lokasi persinggahan pelancong.

Ini kerana, menurut beliau, terdapat pelbagai tarikan pelancongan yang boleh diterokai pelancong dalam dan luar negara seperti pesisir pantai yang indah, pelancongan makan-makan, pelancongan kesihatan dan bermacam lagi.

“Seperti pelancongan makan-makan, kita ada pelbagai pilihan daripada makanan tradisional di kampung-kampung sehinggalah makanan moden di kawasan baharu di jalan pesisir pantai yang bakal dijenamakan sebagai Klebang Food Street.

“Selain itu, pelbagai lagi fasiliti lain sedang dibangunkan seperti trek kemudahan riadah di pesisir pantai dan penambahbaikan keceriaan yang akan dinaik taraf oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Saya juga bercadang mentransformasikan kawasan sawah padi sebagai kawasan ekopelancongan dan pelancongan pendidikan yang mana pengunjung, khususnya golongan muda boleh belajar mengenai penanaman padi dan sebagainya,” katanya.

Photo1700640864
LADANG berkenaan turut menyediakan tarikan menaiki bot di sekeliling tali air ladang berkenaan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam pada itu, Ban Hong turut berharap lebih banyak produk pelancongan baharu berciri unik diperkenalkan di DUN Klebang yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi negeri, selain membantu masyarakat setempat menambah pendapatan.

“Saya percaya, setiap keunikan ini perlu dicari dan digali oleh setiap DUN di negeri ini dalam terus memacu pertumbuhan ekonomi sebagai negeri pelancongan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1091
Kongsi :
Previous post Jangan hantar anak-anak ke Taska tidak berdaftar
Next post Sikap peka, cakna orang ramai kesan kes dera lebih awal
Ubah saiz-+=