Sorting by

×

Pengayuh beca diingatkan tidak kenakan harga kayangan

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

BANDA HILIR 20 November – Pengayuh beca di negeri ini diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan tambang ‘harga kayangan’ kepada pelancong sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) nanti.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, perbuatan mengambil kesempatan sepatutnya tidak berlaku kerana sebelum ini caj bagi perkhidmatan itu sudah ditetapkan RM40 bagi tempoh perjalanan mengambil masa satu jam.

Katanya, teguran itu dibuat berikutan sebelum ini pihaknya ada menerima aduan mengenai segelintir pengayuh beca cuba mengambil kesempatan dengan mengenakan harga kayangan kepada pelancong.

“Tambang jangan mengikut selera (pengayuh beca) maknanya kenakan caj yang melebihi sekarang (ditetapkan) ini. Justeru itu kita mohon semua pengusaha dan pengayuh beca selaraskan harga bayaran ini.

“Saya berharap caj dikenakan mengikut harga ditetapkan, nasihat saya kepada pengayuh beca ini jagalah imej dan nama baik beca Melaka. Sebelum ini kita ada menerima aduan terdapat segelintir yang mengenakan harga kayangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Amanat Sempena TMM2024 Dan Pembaharuan Lesen Beca Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) 2024, di Muzium Rakyat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BBP) Saari Basiron.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas berkata, Kerajaan Negeri menerusi MBMB sedang mengenal pasti beberapa lokasi untuk dijadikan ‘check point’ bagi mengambil dan menurunkan pelancong menggunakan perkhidmatan beca.

“Inisiatif ini akan menjadikan perkhidmatan beca lebih sistematik, sebelum ini berselerak, jadi selepas ini akan ada empat atau lima hentian untuk pengayuh beca mengambil dan menurunkan penumpang.

“Apabila dilaksanakan kelak ia bukan sahaja memudahkan pengayuh beca mendapat pelanggan malah menyenangkan pelancong.

“Pekara ini akan dilaksanakan sebelum 1 Januari, antara lokasi yang dikenal pasti adalah di Menara Taming Sari, Medan Samudera dan Bangunan Stadthyus, namun cadangan hentian sedang diperhalusi MBMB,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

956
Kongsi :
Previous post Kemuka hasil lawatan kerja pada Belanjawan Melaka 2024
Next post Pelajar kolej kemahiran cedera bergaduh
Ubah saiz-+=