Gajah liar masuk kampung, penduduk Orang Asli bertempiaran
GUA MUSANG, 19 November – lebih 70 penduduk perkampungan Orang Asli suku kaum Temiar di sini lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri apabila seekor gajah liar menceroboh masuk ke Kampung Kelaik, Pos Blau, Khamis lepas.
Seorang penduduk Uda Busu, 42, berkata gajah dewasa itu muncul buat pertama kali pada hari Rabu merosakkan tanaman penduduk, dan muncul semula kira-kira pukul 5 petang hari kemudiannya berhampiran dengan sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain.
Beliau berkata susulan kemunculan haiwan itu, semua penduduk dari 24 rumah di perkampungan berkenaan bertempiaran lari menuju ke jalan raya Gua Musang-Lojing.
“Kami semua terpaksa lari meninggalkan rumah dan menunggu di tepi jalan kerana risau gajah itu naik minyak.. Kami menunggu di tepi jalan sehingga benar-benar yakin gajah itu dah balik ke hutan, kami kembali ke rumah semula kira-kira pukul 3 pagi.
“Sampai di rumah, kami dapati sisa makanan dan kuali dari dua rumah berselerak di atas tanah dipercayai angkara gajah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Susulan ancaman gajah liar itu, Penghulu Pos Blau, Salleh Angah, 60, berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengambil langkah proaktif bagi menjamin keselamatan penduduk yang berdepan dengan masalah itu.
“Kita harap pihak yang berkenaan dapat membuat tindakan untuk jangka masa yang panjang, kerana tidak mustahil gajah itu akan berjalan menuju ke perkampungan lain pula.
“Sebelum ini ada juga gajah muncul di jalan raya menuju Pos Blau. Kalau boleh kita mahu pihak berwajib menghalaunya masuk jauh ke dalam hutan dan tidak muncul di mana-mana kawasan kampung lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkenaan kejadian itu.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.