2024, 2025 tahun penting pengamal media Melaka
AYER KEROH 19 November – Pengamal media di negeri ini perlu menjadi ‘orang tengah’ Kerajaan Negeri bagi menjayakan acara besar yang bakal diadakan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, acara itu adalah Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan Hari Pelancongan Dunia atau World Tourism Day 2025 (WTD 2025).
“Saya mohon kerjasama semua wartawan di negeri ini khususnya Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) untuk mempromosikan TMM2024, semestinya peranan wartawan di Melaka amat penting untuk kita menjayakan acara ini.
“Pada tahun 2025 pula, Melaka dipilih menjadi tuan rumah WTD dan ini salah satu peranan wartawan di Melaka untuk membantu menarik pelancong dalam dan luar negara datang ke Melaka.
“Sudah semestinya bantuan daripada pengamal media pelbagai cabang seperti media cetak, media elektronik dan media sosial sangat penting dalam menyebarkan maklumat tentang Negeri Melaka kerana mungkin ramai pelancong masih tidak tahu apa itu TMM2024 dan WTD2025,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-4/2023 PENDIKA yang diadakan di sebuah hotel, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn Bhd, Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Pengerusi PENDIKA, Amir Mamat.
Dalam ucapannya, Fairul Nizam turut memberi penekanan betapa besarnya jasa dan sumbangan pengamal media di Melaka dalam menjadi ‘lidah’ Kerajaan Negeri dalam menyampaikan maklumat yang tepat lagi sahih kepada masyarakat.
Beliau turut menyuarakan harapan untuk melihat ada pengamal media dari Negeri Melaka berjaya menggondol anugerah besar dalam dunia kewartawanan suatu hari nanti.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.