Sorting by

×

Berintegriti dalam laksanakan tugas

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 November – “Bagi saya dalam apa juga perkara, integriti adalah paling penting terutama ketika melaksanakan tugas sebagai penjawat awam. Kita memikul amanah yang diberikan rakyat,” demikian pesan Marsitah Othman, 65.

Pesara itu adalah antara tiga penerima Anugerah Khas mewakili Negeri Melaka, pada Program ‘United We Stand’ Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Zon Selatan berlangsung di sebuah hotel di Bukit Cina, di sini, hari ini.

Menurut Marsitah 30 tahun sudah pasti satu tempoh perkhidmatan yang panjang bagi dirinya yang memulakan tugas sebagai atendan makmal sekolah.

Namun atas kesungguhan ditunjukkan Marsitah diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab lebih besar sebelum bersara dengan jawatan akhir beliau sebagai Penolong Pegawai Tadbir Tinggi di Pejabat Ketua Menteri Melaka.

“Dulu saya ambil peluang untuk bekerja meskipun cuma ditawarkan jawatan atendan makmal, ketika itu tidak ada pilihan selain faktor ekonomi tidak stabil. Bagi saya jika kita mahu lebih, perlu ikhtiar dan berusaha.

“Saya yakin jika kita jujur dan amanah dalam melaksanakan tugas pasti apa sahaja urusan akan dipermudahkan. Bermula sebagai atendan makmal saya dilantik warden asrama dan pada masa yang sama menyambung pengajian ke peringkat diploma.

“Alhamdulillah, dipermudahkan urusan dan akhirnya saya dapat menghabiskan pengajian sebelum dinaikkan pangkat dan bertukar jawatan sebagai penolong pegawai tadbir. Tidak berhenti setakat diploma saya kemudian menyambung pengajian ke peringkat ijazah walaupun sedikit mencabar namun kerana tekad, sekali lagi saya berjaya menamatkan pengajian,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Program ‘United We Stand’ Skim Perkhidmatan Penolong Pegawai Tadbir Zon Selatan yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Hadir sama Presiden Kesatuan Pegawai Eksekutif @Malaysia Azrie Azeh, di Bukit Cina, hari ini.

Ibu kepada enam orang anak ini berkata, penjawat awam seharusnya berbangga kerana mendapat pelbagai manfaat daripada kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan mereka.

“Penjawat awam sendiri perlulah melaksanakan tugas diberikan dengan penuh amanah dan jujur, malah suasana kerja kita akan menjadi tenang serta mudah kerana kita lakukan dengan ikhlas.

“Malah untuk saya sendiri tidak pernah terfikir selepas berkhidmat dan bersara akan terpilih untuk menerima anugerah, saya amat berharap anugerah ini akan menjadi inspirasi buat kakitangan yang masih bertugas,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

840
Kongsi :
Previous post KEPAK sasar tambah ahli
Next post Wanita dipenjara lima bulan, denda larikan jongkong emas, curi wang majikan
Ubah saiz-+=