Jambatan sementara legakan 5,000 penduduk termasuk petani
KLEBANG 14 November – Jambatan sementara menghubungkan Pulau Gadong dan Kampung Setulang Daeng, bukan sahaja melegakan penduduk sebaliknya pesawah serta petani yang sebelum ini berdepan kesulitan untuk memasarkan hasil tuaian mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, susulan kejadian jambatan lama runtuh pada September lalu, petani terpaksa menempuh perjalanan lebih jauh menggunakan laluan alternatif.
Katanya, selain sempit dan tidak selamat pertambahan kenderaan turut menyebabkan berlakunya kesesakan di laluan alternatif berkenaan, sekali gus meningkatkan lagi risiko kemalangan.
“Pertambahan kenderaan di laluan alternatif turut mengakibatkan kesesakan di simpang tiga Klebang Besar, sebagai Adun kawasan saya memuji tindakan pantas Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah yang membelenggu penduduk.
“Untuk makluman ini adalah laluan utama buat pesawah dan petani menghantar hasil tuaian mereka ke jalan utama. Kita berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas tindakan pantas yang diambil untuk menghubungkan kedua-dua kawasa ini dalam tempoh tidak sampai dua bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi EXCO Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer melakukan lawatan tapak ke lokasi pembinaan ‘bailey bridge’ di kampung berkenaan, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir. Ismail Abd Rahman.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.