Aliran trafik di lebuh raya perlahan petang ini

Masa Membaca:1 Minit, 1 Saat

KUALA LUMPUR, 13 Nov – Aliran trafik di lebuh raya utama menuju ke Lembah Klang dilaporkan perlahan dan sesak setakat 5 petang ini, menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Jurucakap LLM ketika dihubungi Bernama berkata trafik perlahan sepanjang 23.9 kilometer di lebuh raya Kuala Lumpur-Karak dari Km 74.7 hingga ke Km 50.8 menghala ke Kuala Lumpur berikutan pertambahan kenderaan.

“Trafik turut perlahan dan sesak dari Genting Sempah menuju ke Plaza Tol Gombak akibat aliran trafik tinggi,” katanya.

Beliau berkata aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari utara menuju Lembah Klang juga perlahan dan sesak ditambah dengan keadaan cuaca yang hujan di beberapa tempat.

“Situasi sama juga berlaku dari arah selatan menuju ke Kuala Lumpur dan tiada lorong yang terhalang serta pengguna jalan raya dinasihatkan berhati-hati ketika memandu,” katanya.

Sementara itu, LLM dalam hantaran menerusi laman sosial X memaklumkan terdapat kejadian banjir kilat di Km 19 dari susur Lebuhraya Persekutuan ke Bangsar dengan hanya satu lorong telah dibuka dan trafik dilaporkan perlahan.

Selain itu, trafik juga perlahan di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah utara dari Bandar Gamuda Cove ke Bandar Saujana Putra disebabkan aliran trafik tinggi dan cuaca hujan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5663
Kongsi :
Previous post JBPM sedia gerakkan 600 Pegawai Bantuan Siswa hadapi MTL
Next post Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW bergema di Masjid MITC
Ubah saiz-+=