Malaysia miliki kepakaran pembuatan EV darat dan laut
BATU BERENDAM 13 November – Malaysia kini mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam sektor pembuatan kenderaan elektrik (EV) di darat dan laut.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kejayaan itu merupakan potensi besar buat negara sebagai hab pengeluar EV di rantau Asia.
Katanya, sektor pembuatan EV di negara ini sedang berkembang dan diperluaskan lagi serta tidak hanya terhad kepada kenderaan EV di darat malah menjadi pengeluar bot atau feri EV sebagai pengangkutan laut.
“Kejayaan ini membolehkan negara menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat pengeluar bateri selain pemasangan kenderaan EV.
“Pemasangan kenderaan EV ini adalah potensi yang cukup besar untuk Malaysia perluaskan lagi EV bukan hanya untuk kenderaan darat, tapi juga menggunakan konsep bot elektrik.
“Sekarang kita dah ada kepakaran dan kemahiran kejuruteraan untuk membina bot EV oleh anak-anak tempatan dan ini satu inovasi cukup baik merendahkan penggunaan karbon,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bot ‘Hydroglyder’ yang menggunakan teknologi elektrik di sebuah kilang di Batu Berendam di sini hari ini.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Melaka Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Mengulas lanjut, Anthony berkata pelancaran bot terbabit walaupun hanya prototaip Hydroglyder, namun ia dihasilkan untuk memenuhi pasaran Singapura, sebagai bot transit membawa kru kapal kargo ke pelabuhan.
Jelasnya, Malaysia juga boleh menggunakan teknologi terbabit pada masa hadapan.
“Akan datang, Malaysia juga boleh perkenalkannya untuk pasaran negara seperti bagi perkhidmatan feri penumpang di antara pulau-pulau antaranya Langkawi, Tioman, Pulau besar dan Pangkor.
“Jadi semua operator feri ini mereka ada pilihan untuk gunakan bot EV ini yang juga merupakan satu trend hala tuju yang mesti kita lalui,” katanya.
Jelas Anthony, inovasi EV itu sejajar dengan komitmen kerajaan memastikan pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ menjelang tahun 2050.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.