Pantai Kundor bakal bina masjid dan dataran baharu
PANTAI KUNDOR 13 November – Masyarakat sekitar Kampung Bukit Darat bakal menerima sebuah masjid baharu selewat-lewatnya penghujung tahun 2024.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Tuminah Kadi @ Hashim memaklumkan permohonan untuk membina masjid di kawasan terbabit telah dipohon sejak tahun 2015.
Katanya, pembinaan masjid itu bakal memberi kelegaan kepada jemaah kariah kampung terbabit selepas penantian sekian lama.
“Bagi pembinaan masjid ini kita mohon peruntukan sebanyak RM8 juta daripada Pejabat Pembangunan negeri untuk kapasiti 800 jemaah pada satu masa di masjid terbabit nanti.
“Perkembangan terbaharu, saya bersama agensi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa agensi terlibat baharu selesai melawat tapak untuk reka bentuk bina masjid baru-baru ini.
“Apa yang kita harapkan, kerja-kerja tukar status dari tanah pertanian ke tanah pembangunan dapat disiapkan segera dan kerja-kerja pembinaan dapat dimulakan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Dalam pada itu, Tuminah yang juga Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri turut memaklumkan pihaknya akan membina satu dataran di kawasan Lereh sebagai hab peniaga kecil.
“Bagi pembinaan dataran di Lereh ini, kita sedang menunggu kelulusan namun lawatan tapak sudah dilaksanakan.
“Kita rancang untuk jadikan dataran ini sebagai hab peniaga dan ia juga akan dijadikan kawasan tumpuan pelancong.
“Selepas mendapat kelulusan kita akan siapkan dataran ini secepat mungkin bagi persediaan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.